Negeri Perlis telah diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1446 Hijrah bersamaan 2025 Masihi.
Sehubungan itu, Majlis Pra-Pelancaran MTHQK 2025 telah pun disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, pada 10 April 2025 bertempat di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis.
Pertandingan yang dijangkakan akan berlangsung pada 27 April hingga 2 Mei 2025 nanti ini bakal menghimpunkan qari, qariah serta hafiz dan hafizah terbaik dari seluruh negara.
Selain itu, Kerajaan Negeri Perlis turut menawarkan hadiah lumayan kepada para pemenang termasuk wang tunai, wang tunai haji atau umrah, piala, cenderamata dan sijil penghargaan kepada para peserta dan pemenang.
Menariknya, Johan kategori Tilawah akan menerima wang tunai sebanyak RM20,000 berserta wang tunai haji RM10,000 serta piala dan sijil.
Dalam masa yang sama, pemenang kategori Hafazan 30 Juzuk turut menerima hadiah wang tunai RM20,000, manakala kategori Hafazan 20 Juzuk dan 10 Juzuk masing-masing menerima hadiah wang tunai serta wang tunai umrah.
Sebagai penghargaan tambahan, Kerajaan Negeri juga akan menghadiahkan sebuah telefon pintar kepada semua pemenang utama.
Sementara itu, sokongan daripada pihak luar juga semakin memberangsangkan apabila Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bersetuju menaja satu dinar emas bernilai RM2,000 untuk setiap johan Tilawah dan Hafazan.
Hal ini menjadikan jumlah keseluruhan tajaan YaPEIM bagi MTHQK 2025 adalah sebanyak RM16,000, merangkumi lapan orang johan dari kategori Tilawah dan Hafazan.
Melalui penganjuran sebegini, Perlis bukan sahaja bakal mencatat sejarah menjadi tuan rumah buat kali pertama, malah turut memperkukuhkan syiar Islam melalui acara tilawah dan hafazan Al-Quran di peringkat kebangsaan.