Friday, 23 May, 2025
HomeAgamaAL-QURAN SEBAGAI PANDUAN HIDUP - MB PERLIS

AL-QURAN SEBAGAI PANDUAN HIDUP – MB PERLIS

Dalam Majlis Pra Pelancaran Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung pada 10 April 2025, Menteri Besar Perlis, YAB Mohd Shukri Ramli menegaskan bahawa al-Quran bukan sekadar kitab bacaan, tetapi merupakan panduan kehidupan yang sempurna.

Beliau memetik firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra’, ayat 9, yang menyatakan bahawa al-Quran memberi petunjuk ke jalan yang lebih lurus dan berita gembira kepada orang-orang beriman yang mengerjakan amal soleh.

Selain itu, beliau menekankan bahawa penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) bukan hanya sekadar acara tahunan, tetapi menjadi wahana dalam mendekatkan masyarakat dengan al-Quran, membudayakan pembacaan, pemahaman, dan penghayatan isi kandungannya dalam kehidupan seharian.

Tambahan pula, dalam era yang penuh cabaran ini, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan generasi muda terus mencintai al-Quran, memahami intipatinya, serta menjadikannya sebagai asas dalam setiap keputusan dan tindakan.

“Kita berharap acara sebegini dapat melahirkan qari, qariah, huffaz dan ilmuwan Islam yang bukan sahaja fasih dalam bacaan tetapi juga mampu menerapkan nilai-nilai al-Quran dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara”, kata Mohd Shukri Ramli.

Seterusnya, beliau menyatakan bahawa penganjuran majlis ini membawa banyak manfaat dan kebaikan, antaranya menjadi peluang yang amat baik untuk mempromosikan Negeri Perlis kepada delegasi dari seluruh Malaysia yang hadir berkampung di sini.

“Kita dapat merancakkan sektor ekonomi negeri melalui tempahan penginapan delegasi dan tetamu yang hadir di hotel-hotel, ‘homestay’ dan lain-lain penginapan yang terdapat di Negeri Perlis.”

Tambahan pula, kehadiran pengunjung juga memberikan peluang menjana pendapatan bagi peniaga-peniaga kedai makanan, cenderahati, pusat riadah dan sebagainya.

Paling penting, kita semua dapat membina dan menjalin hubungan silaturrahim di antara delegasi dan semua tetamu yang hadir dengan petugas di negeri ini khasnya dan seluruh rakyat Negeri Perlis secara amnya.

Akhir sekali, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah berusaha menjayakan penganjuran majlis ini, termasuklah pihak penganjur, barisan jawatankuasa, agensi-agensi kerajaan, serta para penaja yang telah memberikan sokongan padu.

Semoga segala usaha ini dikira sebagai amal soleh dan diberkati oleh Allah SWT.

 

 

RELATED ARTICLES

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments