YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli menyeru seluruh rakyat negeri ini untuk membaca Doa Qunut Nazilah dalam solat lima waktu sebagai solidariti kepada saudara Islam di Palestin.
Seruan ini adalah sebagai menyahut titah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang menekankan keperluan memperbanyakkan doa susulan serangan dan sekatan ke atas Gaza.
“Gaza sekarang sedang bergelut dalam bara kezaliman.
“Umat Islam seluruh dunia tak putus-putus mengangkat tangan, merayu kepada Allah.
“Kita pun jangan tinggal doa buat mereka,” pesan Mohd Shukri Ramli.
Beliau berharap rakyat Perlis dapat istiqamah membaca Qunut Nazilah dan terus menunjukkan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestine.
Melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), seluruh masjid di negeri Perlis dititah untuk membaca Qunut Nazilah pada rakaat akhir solat lima waktu bermula subuh 9 April 2025 hingga ke satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak.