Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, Raja Perlis, telah berkenan merasmikan Kilang Pembuatan Semikonduktor Jabil di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), menjadikannya pelaburan asing pertama di kawasan tersebut.
Majlis bersejarah ini berlangsung pada 7 April 2025 dan turut dihadiri oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, serta anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Syed Faizuddin.
Kilang Jabil, yang dibangunkan sejak 2022 dan siap sepenuhnya pada tahun 2024, kini menjadi simbol kejayaan bagi Perlis dalam menarik pelaburan asing.
Pembukaan kilang ini memberi harapan dalam merancakkan lagi pelaburan domestik dan antarabangsa, sekali gus meletakkan Perlis sebagai destinasi utama dalam sektor pembuatan.
Dalam titah baginda, Tuanku Raja Perlis menyatakan bahawa projek ini adalah hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri, NCIA, BPEN, dan pihak pelabur, yang mencerminkan potensi besar Perlis.
“Sejak awal lagi, kita melihat kerjasama kukuh antara kerajaan negeri Perlis, NCIA, MRCB serta Jabil.”
“Beta amat berbesar hati melihat hasil usaha kolaboratif semua pihak terbabit kini berjaya disiapkan tahun lalu, membawa kita ke hari bersejarah ini.”
Baginda juga percaya bahawa kilang ini akan memberikan peluang pekerjaan, pembangunan kemahiran, dan kemajuan teknologi yang bermanfaat kepada rakyat.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, turut menegaskan bahawa kilang Jabil ini bakal membuka lebih banyak pelaburan dan memperkukuh kedudukan Perlis sebagai hab industri yang kompetitif.
Seiring dengan itu, kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan CVIA bagi memastikan ia memenuhi piawaian tertinggi.
Kilang Jabil di Chuping ini merupakan cawangan terbaru selepas kilang-kilang Jabil di Batu Kawan, Pulau Pinang, serta Sungai Petani dan Kulim di Kedah