YB Asrul Aimran Abd Jalil, ADUN Kayang, turut serta dalam program Singgah Soq yang dilaksanakan bagi menyantuni petugas barisan hadapan dengan edaran juadah sahur pada 21 Mac 2025 lalu.
Bermula jam 1.00 pagi, konvoi bergerak ke lokasi strategik seperti balai-balai polis, balai bomba serta Hospital Tuanku Fauziah bagi menyampaikan juadah tersebut.
“Juadah yang kita bagi mungkin sedikit tapi ia tanda kita hargai semangat dan pengorbanan anggota keselamatan dan semua barisan hadapan komited berkhidmat untuk negara,” ujar YB Asrul Aimran.
Pelepasan jelajah Singgah Soq disempurnakan oleh YAB Cikgu Mohd Shukri Ramli, Menteri Besar Perlis di Sekolah Rendah Islam Al-Furqan, Jejawi Dalam.
Sebanyak tiga pasukan jelajah telah bergerak meliputi Parlimen Padang Besar, Parlimen Kangar (P002) dan Parlimen Arau dengan kekuatan kira-kira 100 orang sukarelawan.
Program dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis bersama ARC Perlis (Alternative Riding Club) dan Jabatan Amal Malaysia Negeri Perlis di sekitar Parlimen Kangar merupakan program tahunan yang melibatkan ADUN-ADUN dan Ahli Parlimen Perlis.