Majlis Khatam Al-Quran dan Iftar Perdana di bawah Program Ihya’ Ramadan “Ramadan Di Hati Kami” berlangsung dengan penuh bermakna di Rumah Kanak-Kanak Arau pada Jumaat, 21 Mac 2025 lalu.
Majlis ini dihadiri oleh YB Datin Marzita Mansor, EXCO Kebajikan Negeri Perlis yang menzahirkan rasa syukur kerana berpeluang bersama anak-anak di pusat jagaan tersebut dalam suasana penuh keberkatan.
“Anak-anak di Rumah Kanak-Kanak Arau adalah amanah dan aset negara. Semoga usaha kita membimbing mereka melahirkan insan berakhlak dan bermanfaat kepada masyarakat.
“Ramadan ini mengingatkan kita untuk terus menanam nilai kasih sayang, kebajikan, dan kepedulian sosial,” tambahnya lagi.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Tuan Ku Chik bin Ku Mat Esa, Dato’ Hamdan bin Bahari, dan Encik Rasyid bin Kasim.
Marzita turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus lumus dalam menjayakan program ini demi memastikan kebajikan anak-anak terus terpelihara.
Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada anak-anak untuk mendalami ilmu agama tetapi juga mengeratkan hubungan antara masyarakat dalam menghayati semangat Ramadan.