Lebih 300 pek bubur lambuk disiapkan dan diedarkan secara gotong-royong hasil kerjasama erat penduduk setempat di Kampung Ujong Batu, Kangar sejak awal pagi 22 Mac lalu.
Dalam program tersebut, YB Asrul Aimran Abd Jalil, ADUN Kayang turut hadir bagi mengagihkan bubur lambuk kepada penduduk sekitar pada sebelah petang program.
Menurut Asrul, tradisi penyediaan bubur lambuk ini bukan sekadar juadah berbuka puasa, malah menjadi simbol perpaduan dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
“Hidangan bubur lambuk sentiasa menjadi menu wajib setiap kali bulan puasa dan ianya mempunyai keunikan dan rasa tersendiri yang pastinya membuka selera,” ujarnya.
Tambahnya, selain ibadah khusus yang dibuat sepanjang Ramadan, program bermasyarakat seperti ini juga merupakan ibadah yang telah dilazimi sejak turun temurun.