Seramai 200 orang penerima terdiri daripada asnaf, orang kelainan upaya (OKU), dan keluarga berpendapatan rendah sekitar DUN Simpang Empat telah menerima sumbangan berupa bakul makanan.
Sumbangan ini diberikan melalui Majlis Infaq Ramadhan DUN Simpang Empat 2025 yang berlangsung pada pagi Sabtu, 22 Mac baru-baru ini bertempat di perkarangan Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Simpang Empat.
Majlis turut disempurnakan dengan kehadiran Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Razali Saad, ADUN Simpang Empat berkata beliau berharap agar sumbangan ini dapat meringankan beban perbelanjaan para penerima dalam melakukan persiapan dalam bulan yang mulia ini.
Program sebegini juga membuktikan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa cakna kepada masyarakat yang kurang bernasib baik.
Beliau juga amat berterima kasih serta terharu dengan komitmen daripada petugas-petugas DUN Simpang Empat, termasuk Pengerusi dan Setiausaha Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK) yang banyak bertungkus lumus menjayakan majlis ini.
Setiap MPKK ditugaskan untuk mencari sekurang-kurangnya 5 orang penerima yang layak dalam cawangan masing-masing.
