Bulan April bakal menjadi bulan yang penuh dengan kemeriahan di Perlis dengan penganjuran enam acara utama yang melibatkan sambutan Aidilfitri, acara diraja, dan program keagamaan bertaraf kebangsaan.
YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, menyatakan bahawa program-program ini bukan sahaja akan menyemarakkan suasana negeri tetapi juga mengeratkan perpaduan rakyat serta mengangkat martabat Perlis dalam pelbagai aspek.
“Sepanjang bulan Syawal ini, kerajaan negeri telah merancang pelbagai program yang melibatkan masyarakat dari semua lapisan.
“Saya berharap rakyat dapat memanfaatkan peluang ini untuk bersama-sama memeriahkan sambutan Aidilfitri serta acara penting negeri,” katanya.
Antara program utama yang bakal berlangsung ialah Majlis Sambutan Aidilfitri Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Perlis 1446H yang dijadualkan pada 12 April di Dewan 2020.
Majlis Santapan Diraja sempena Jubli Perak pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pula akan diadakan pada 17 April di Istana Arau.
Selain itu, acara Markas Tentera Darat sempena Jubli Perak akan berlangsung pada 26 April di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra.
Dalam tempoh yang sama, Istiadat Perasmian Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Perlis Ke-15 turut dijadualkan berlangsung.
Kemuncak kemeriahan turut diserikan dengan Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI yang akan diadakan pada 27 April di Dataran Lok 9, Kuala Perlis, diikuti dengan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan yang berlangsung dari 27 April hingga 2 Mei di Dewan 2020.
Mohd Shukri turut menyatakan rasa syukur kerana rakyat Perlis berpeluang meraikan sambutan Jubli Perak pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail buat pertama kalinya.
“Alhamdulillah, ini adalah satu detik bersejarah bagi negeri Perlis.
“Kemuncak acara ialah Majlis Santapan Diraja pada 17 April yang bakal dihadiri oleh Sultan dan Yang di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Raja-Raja Melayu serta Tuan Yang Terutama dari setiap negeri,” katanya.
Beliau berharap agar semua program yang dirancang dapat berjalan lancar dan memberi manfaat kepada rakyat dalam memperkukuhkan perpaduan serta menyemarakkan semangat kebersamaan di Perlis.
Mohd Shukri Ramli menyampaikan ucapan ini dalam Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis bagi bulan Mac 2025, yang berlangsung pada Jumaat, 21 Mac 2025, di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis.