Kerajaan Negeri Perlis mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan Tahun 2025 sebanyak RM500 kepada penjawat awam Gred 15 dan ke bawah, termasuk pegawai serta kakitangan lantikan kontrak di bawah pentadbiran negeri.
Lebih kurang seramai 1,700 penjawat awam Perlis akan menerima bantuan khas ini sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Pengumuman ini dibuat oleh YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, dalam Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis bagi bulan Mac 2025 yang berlangsung di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis, pada pagi tadi (21 Mac 2025).
Menurut Mohd Shukri Ramli, pemberian bantuan khas ini merupakan satu bentuk penghargaan dan motivasi kepada penjawat awam atas usaha serta komitmen mereka dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat negeri ini.
“Kerajaan Negeri amat menghargai sumbangan penjawat awam yang sentiasa bekerja keras dalam memastikan perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat berada pada tahap terbaik.”
Bayaran bantuan khas ini dijadualkan akan disalurkan kepada penerima pada akhir Mac 2025.
Langkah ini diharapkan dapat membantu mengurangkan beban kewangan kakitangan kerajaan yang berpendapatan rendah serta memberi suntikan semangat kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi.