Friday, 23 May, 2025
HomeUmum65 ANAK YATIM DISANTUNI DALAM IFTAR KERAJAAN NEGERI PERLIS 2025

65 ANAK YATIM DISANTUNI DALAM IFTAR KERAJAAN NEGERI PERLIS 2025

Seramai 65 orang anak yatim diraikan dalam Majlis Iftar Kerajaan Negeri Perlis 2025 yang berlangsung di Dewan Warisan, Jalan Kolam, Kangar pada 20 Mac 2025, semalam.

Anak-anak yatim tersebut terdiri daripada 12 orang dari Pertubuhan Kebajikan Rumah Anak Yatim Mak Teh Perlis, 10 orang dari Rumah Kanak-Kanak Arau, serta 28 orang dari Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Perlis (PKAYPs).

Mereka menerima sumbangan wang tunai yang disampaikan oleh YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, diiringi oleh isteri beliau, Puan Najwa Othman.

Selain menyantuni anak-anak yatim, majlis ini turut diadakan bagi menghargai penjawat awam dari pelbagai jabatan dan agensi, badan berkanun, serta pimpinan masyarakat yang hadir.

Turut hadir dalam majlis ini ialah YB Tuan Speaker Rus’sele bin Eizan, EXCO Hal Ehwal Agama, Ustaz Azmir Azizan, serta ADUN Kayang, Ustaz Asrul Aimran.

Lebih bermakna, majlis ini diserikan dengan keberangkatan DYMM Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, DYTM Tuanku Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, dan DYTM Tuanku Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Di samping itu, baginda juga berkenan untuk menyertai Solat Maghrib secara berjemaah bersama para hadirin sebelum menikmati juadah berbuka puasa bersama-sama.

Seusai santapan, para hadirin berpeluang mendengar tazkirah yang disampaikan oleh Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.

Seterusnya, majlis diteruskan lagi dengan Solat Isyak dan Solat Tarawih secara berjemaah.

Majlis Iftar Kerajaan Negeri Perlis ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara kepimpinan negeri dan rakyat, malah memberikan makna mendalam dalam menyantuni golongan yang memerlukan, sejajar dengan semangat Ramadan yang penuh rahmat dan keberkatan.

RELATED ARTICLES

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments