Pada 18 Mac 2025, ADUN Pauh, Megat Hashirat Hassan bersama PKWR DUN Pauh telah menganjurkan program bubur lambuk bersama rakyat secara berperingkat dengan meriah antaranya di Kampung Belukar, Kampung Kubang Siput, Kampung Alor Ara Timur dan Kampung Ulu Pauh sepanjang bulan Ramadan.
Program ini bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk serta mengekalkan tradisi penyediaan bubur lambuk sempena bulan Ramadan.
Sejak awal pagi, penduduk kampung tanpa mengira usia berkumpul di perkarangan Kampung Belukar untuk bersama-sama menyediakan bubur lambuk.
Megat Hashirat Hassan turut serta dalam proses memasak menunjukkan komitmen beliau terhadap tradisi dan kebajikan masyarakat setempat.
Bubur lambuk yang telah siap dimasak kemudian diedarkan kepada penduduk kampung dan mereka yang memerlukan, termasuk golongan asnaf dan warga emas.
Dalam ucapannya, Megat Hashirat Hassan menekankan kepentingan perpaduan dan kerjasama dalam komuniti.
“Program seperti ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan sesama kita, tetapi juga memastikan warisan budaya kita terus hidup dan dihargai oleh generasi akan datang,” ujarnya.