Program tahunan Jom Beli Baju Raya Anak-Anak Yatim (Asnaf) anjuran Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Sena dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Penyayang Kangar telah berlangsung dengan jayanya di The Store Kangar pada 15 Mac lalu.
Program ini telah menjadi tradisi sejak Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Penyayang Kangar, YB Datin Marzita Mansor, ADUN Sena mula menerajui persatuan pada tahun 2006.
Seramai 50 anak yatim bersama waris mereka diberikan peluang memilih sendiri pakaian baharu sebagai persiapan menyambut Syawal.
Inisiatif ini bertujuan memberikan kegembiraan kepada golongan yang kurang berkemampuan agar mereka turut merasakan kemeriahan Aidilfitri.
Pemilihan penerima manfaat dibuat berdasarkan data hasil lawatan pihak persatuan ke kampung-kampung dalam kawasan Sena, selain senarai yang diperoleh daripada Pengerusi MPKK dan Amil-Amil masjid.
Menurut YB Datin Marzita, kejayaan program ini tidak akan tercapai tanpa sokongan daripada para dermawan yang menyumbangkan infaq dan zakat.
“Saya hanyalah pengantara dalam menyampaikan amanah ini kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Insya-Allah, setiap sumbangan yang diberikan akan disalurkan dengan penuh tanggungjawab,” tambah beliau.
Beliau turut mengalu-alukan lebih banyak sumbangan daripada individu dan badan korporat untuk membantu golongan memerlukan di seluruh DUN Sena.
“Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Kebajikan adalah tanggungjawab bersama, dan saya percaya dengan adanya keprihatinan masyarakat, lebih ramai yang dapat dibantu,” tambahnya.