Program Kick-Off Food Safety di Bazar Ramadan Pasar Lama Kangar telah dirasmikan oleh YB Datin Marzita Mansor, EXCO Kesihatan Negeri Perlis, dalam satu inisiatif Jabatan Kesihatan Negeri Perlis untuk mempromosikan keselamatan makanan sepanjang bulan Ramadan.
Menurut YB Datin Marzita Mansor, program ini adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penyediaan makanan yang bersih dan selamat.
Tahun ini, sesi walkabout di Perlis diadakan di lokasi baharu, iaitu di Bazar Ramadan Pasar Lama Kangar, bagi memastikan aspek keselamatan makanan dipatuhi oleh para peniaga dan pengguna.
Marzita menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika membeli makanan di bazar Ramadan.
“Orang ramai pelu mengamalkan 3 langkah penting sebelum membeli makanan, membeli makanan di premis yang bersih, mengamalkan konsep ‘perhati & pilihp sebelum membeli makanan serta menggunakan deria – Lihat, Hidu, dan Rasa – bagi memastikan makanan masih dalam keadaan baik sebelum dimakan,” ujarnya.
Selain itu, YB Datin Marzita turut mengingatkan para pengusaha makanan agar sentiasa mengutamakan keselamatan makanan dengan mengamalkan 5 Kunci Keselamatan Makanan.
“Peniaga wajib amalkan 5 Kunci Keselamatan Makanan yang digariskan oleh KKM seperti menjaga kebersihan diri, tempat penyediaan makanan dan peralatan memasak serta mengamalkan pengasingan makanan mentah dan makanan yang telah dimasak untuk mengelakkan pencemaran silang.
“Mereka juga mesti memasak dengan betul bagi memastikan makanan selamat dimakan meyimpan makanan pada suhu yang selamat untuk mengelakkan pembiakan bakteria serta mengunakan air dan bahan mentah yang bersih untuk menjamin keselamatan makanan,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kebersihan premis makanan perlu dijaga bagi mengelakkan pembiakan makhluk perosak dan nyamuk.
Selain itu, penggunaan bahan berbahaya seperti dawai kokot dan lidi dalam pembungkusan makanan adalah dilarang di bawah Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
“Keselamatan makanan bukan sahaja tanggungjawab peniaga, tetapi juga tanggungjawab pengguna untuk memastikan makanan yang diambil selamat dan berkualiti. Semoga program ini dapat meningkatkan kesedaran serta membantu masyarakat menikmati juadah berbuka dengan lebih selamat sepanjang bulan Ramadan ini,” katanya.
Program Kick-Off Food Safety ini turut dihadiri oleh Dr Ghazali Chik, Pengarah Kesihatan Perlis, YB Gan Ay Ling, ADUN Indera Kayangan serta Tuan Affendi Rajini Kanth, YDP Majlis Perbandaran Kangar.