Seramai 30 pelajar terdiri daripada asnaf dan keluaga berpendapatan rendah sekitar DUN Simpang Empat telah menerima sumbangan baju raya melalui Program Ceria Raya Bersama Jakel, anjuran Jakel Alor Setar dengan kerjasama Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Simpang Empat.
Program ini berlangsung pada Rabu, 12 Mac, bertempat di Jakel Alor Setar, Kedah.
Para pelajar mula berhimpun di perkarangan Pusat Khidmat Wakil Rakyat sebelum dibawa ke Jakel Alor Setar dengan menaiki bas.
Setiap pelajar lelaki menerima bantuan berupa sepasang Baju Melayu, dan bagi pelajar perempuan pula menerima sepasang Baju Kurung.
Menurut ADUN Simpang Empat, Razali Saad, beliau amat terharu dan sangat berterima kasih terutamanya kepada Pengarah Urusan Jakel Alor Setar, Zainol Saad dan adik beliau Azhar Saad yang telah menyalurkan inisiatif ini kepada pelajar terpilih di DUN Simpang Empat.
Program sebegini dapat meringankan kos perbelanjaan bagi ibu bapa berpendapatan rendah terutamanya menjelang perayaan, selain memberi keceriaan kepada para pelajar.
Razali Saad juga berharap agar para pelajar terus berusaha dengan gigih dan berjaya dalam pembelajaran, menjadi generasi berilmu serta dapat berbakti kepada masyarakat.