Monday, 16 June, 2025
HomePerpaduanPERPADUAN DIPERKUKUH DENGAN PELBAGAI PROGRAM INKLUSIF

PERPADUAN DIPERKUKUH DENGAN PELBAGAI PROGRAM INKLUSIF

Wan Badariah Wan Saad, Exco Perpaduan Negeri Perlis hadir ke Majlis Mesyuarat Negara bersama Exco-Exco Perpaduan Negeri dan Exco-Exco Hal Ehwal Agama Selain Islam (MExUnity) yang dipengerusikan oleh Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara di Cyberjaya pada 10 Mac 2025, Isnin.

MExUnity berperanan sebagai platform perbincangan antara Menteri Perpaduan Negara dan barisan EXCO Kerajaan Negeri untuk merancang serta melaksanakan inisiatif yang bertujuan mengukuhkan perpaduan negara melalui program-program berasaskan perpaduan di peringkat kebangsaan dan negeri.

Beberapa isu utama yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut termasuk pengesahan status tanah bagi 584 premis perpaduan, pengurusan isu perpaduan di peringkat akar umbi, serta penganjuran sambutan Minggu Perpaduan 2025.

Salah satu inisiatif utama yang dibincangkan ialah pembangunan ruang sosial dan fizikal sebagai tapak perpaduan di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Perumahan Strata Kos Rendah.

Ruang ini bertujuan sebagai pusat penglibatan inklusif yang menggalakkan interaksi antara penduduk dari pelbagai latar belakang, dengan matlamat mewujudkan keharmonian sosial yang berterusan.

Inisiatif ini tidak hanya menguatkan perpaduan dalam komuniti, tetapi juga mempromosikan kerjasama strategik antara komuniti, institusi akademik, agensi kerajaan, sektor swasta, dan NGO.

Sebanyak 21 lokasi berpotensi di 14 negeri telah dikenalpasti oleh Kementerian Perpaduan Negara untuk pembangunan ruang sosial dan fizikal ini.

Projek yang dicadangkan termasuk pembinaan dewan terbuka, taman permainan kanak-kanak, gazebo, sudut hijau, pusat aktiviti sukan, hab komuniti berpusat, perpustakaan komuniti, dan trek pejalan kaki.

Agenda utama lain yang dibincangkan ialah laporan kemajuan pelaksanaan Inisiatif Pemerkasaan Rukun Tetangga Progresif.

Pada 2024, sebanyak 152 Rukun Tetangga telah dijadikan model penggerak komuniti progresif, melebihi sasaran awal sebanyak 116.

Projek ekonomi yang diketuai oleh komuniti Rukun Tetangga bertujuan untuk menjana pendapatan dan mengurangkan kos sara hidup penduduk.

Bagi menyokong inisiatif ini, kementerian akan membangunkan aplikasi digital bernama KRT Mart untuk memperluaskan pasaran produk Rukun Tetangga.

Aplikasi mudah alih yang mesra pengguna ini akan menyediakan platform yang mudah diakses bagi komuniti untuk memasarkan produk mereka dengan lebih berkesan.

Aaron menekankan bahawa kerjasama yang kukuh antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri adalah penting untuk memastikan perpaduan negara tetap teguh dan mampan.

Beliau juga menegaskan bahawa meskipun menghadapi cabaran, dengan komitmen bersama dan dasar yang inklusif, Malaysia mampu terus membina sebuah negara yang harmoni, bersatu, dan makmur untuk semua.

RELATED ARTICLES

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments