Sunday, 16 March, 2025
HomeKebajikanTIADA GOLONGAN TERPINGGIR, TERUTAMA DALAM BULAN RAMADAN - EXCO KEBAJIKAN

TIADA GOLONGAN TERPINGGIR, TERUTAMA DALAM BULAN RAMADAN – EXCO KEBAJIKAN

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Perlis terus komited dalam menyantuni golongan memerlukan menerusi program Berkat Berjasa Menyantuni Masyarakat: Cahaya Ramadan Bersinar Syawal.

Program ini, yang berlangsung di Kampung Padang Besar Selatan, bertujuan membantu masyarakat kurang berkemampuan serta mengukuhkan perpaduan melalui aktiviti kebajikan.

Diadakan pada setiap hari Khamis, bermula minggu pertama hingga minggu ketiga Ramadan, program ini melibatkan seramai enam orang klien penerima bantuan kewangan bulanan JKM.

Inisiatif ini dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan bagi memastikan mereka yang memerlukan dapat menjalani ibadah puasa serta menyambut Aidilfitri dengan lebih sempurna.

Aktiviti bermula dengan sesi gotong-royong yang mencerminkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat, diikuti dengan penyerahan sumbangan kepada klien terpilih.

Inisiatif ini bukan sahaja meringankan beban penerima tetapi turut mengukuhkan hubungan silaturahim antara rakyat pelbagai lapisan.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran YB Datin Marzita Mansor, Exco Kebajikan Negeri Perlis, yang menekankan pentingnya kebajikan sebagai pemangkin perpaduan dalam masyarakat.

“Kita semua bertanggungjawab memastikan tiada golongan yang dipinggirkan, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.

“Semangat gotong-royong dan kebersamaan yang ditunjukkan hari ini membuktikan bahawa kebajikan bukan hanya tentang memberi, tetapi juga tentang menyemai kasih sayang dan perpaduan,” katanya.

Turut hadir memberi sokongan ialah YB Abu Bakar bin Hamzah, Exco Kerajaan Negeri Perlis merangkap ADUN Kawasan Kuala Perlis, serta Tuan KuChik Ku Mat Esa, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis.

RELATED ARTICLES

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments