Negeri Perlis bakal melakar sejarah apabila meraikan Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail pada 17 April 2025 nanti.
Pelbagai program istimewa telah disusun bagi memeriahkan sambutan ini.
Antara acara utama termasuklah Majlis Santapan Diraja, Majlis Pecah Tanah Masjid Baharu, dan Majlis Perasmian Mercu Tanda Jubli Perak.
Selain itu, Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan turut akan diadakan sebagai salah satu pengisian rohani sepanjang sambutan ini.
Perlis juga bakal menerima keberangkatan Duli-Duli Tuanku, kerabat diraja, serta kenamaan dari dalam dan luar negara.
Sambutan ini bukan sahaja meriah dengan kehadiran tetamu diraja tetapi juga berpotensi menarik pelancong dari serata dunia.
Persiapan rapi kini sedang giat dijalankan oleh pihak urusetia dan jabatan-jabatan terlibat bagi memastikan kelancaran program.
Kerajaan negeri turut mengalu-alukan penglibatan semua jabatan dan agensi di Perlis untuk menganjurkan program sisipan sepanjang sambutan ini.
Kerja-kerja pengindahan dan pembersihan kawasan tumpuan juga dipercepatkan untuk memastikan persekitaran yang indah dan selesa.
Antara lokasi yang diberi tumpuan termasuklah jalan-jalan utama, dataran, taman awam, rumah ibadat, serta bangunan mercu tanda negeri.
Seluruh penjawat awam diharap dapat memberikan komitmen penuh dalam menjayakan sambutan ini.
Orang ramai juga digalakkan untuk bersama-sama mempromosikan Sambutan Jubli Perak kepada seluruh rakyat Malaysia.
Pengumuman rasmi mengenai persiapan dan penglibatan semua pihak dalam sambutan ini telah disampaikan oleh YAB Mohd Shukri Ramli, Menteri Besar Perlis dalam Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis (Februari) Tahun 2025.
Perhimpunan ini telah pun berlangsung di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri pada 28 Februari 2025 (Jumaat), jam 9.30 pagi tadi.