Sunday, 16 March, 2025
HomeUmumPATUHI SYARIAT, UNDANG-UNDANG KETIKA BERNIAGA SEPANJANG BULAN RAMADHAN

PATUHI SYARIAT, UNDANG-UNDANG KETIKA BERNIAGA SEPANJANG BULAN RAMADHAN

Demi memberikan keselesaan dan kemudahan kepada rakyat khususnya para peniaga sepanjang bulan Ramadan tahun ini, Kerajaan Negeri Perlis telah meluluskan pengoperasian bazar-bazar Ramadan di beberapa buah lokasi terpilih di seluruh negeri ini.

Oleh itu, kerajaan negeri, melalui Majlis Perbandaran Kangar (MPK), telah menyediakan sebanyak empat buah tapak bazar Ramadan iaitu di tapak pasar malam Kangar (119 lot), Taman Kemajuan (71 lot), tapak pasar malam Arau (220 lot) dan tapak pasar malam Kuala Perlis (45 lot).

Selain itu, sebanyak tujuh lokasi bazar Ramadan yang diselia oleh agensi luar atau swasta turut diberi kebenaran beroperasi iaitu di Mata Ayer (25 lot), Dataran Persiaran Wawasan (300 lot), Perkarangan Masjid Muhammadiah, Kampung Guar Gajah (20 lot), tapak berhampiran Masjid Muhammadi, Sungai Adam Jejawi (40 lot), Dataran ABC MAIPs Kangar (20 lot), Pasar Tani Simpang Empat (46 lot) dan jalan susur berhampiran Pusat Koreksional Perlis (10 lot).

Sehubungan dengan itu, para peniaga diingatkan agar sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuklah tidak menyewakan tapak jualan kepada pihak ketiga yang boleh mengakibatkan pembatalan lesen serta tindakan undang-undang.

Di samping itu, para peniaga juga diminta supaya menitikberatkan aspek kebersihan dan keselamatan makanan yang dijual kepada pelanggan bagi memastikan kualiti makanan yang terbaik.

Bagi mengelakkan pembaziran, lebihan makanan yang tidak terjual pula dicadangkan supaya disedekahkan kepada golongan yang memerlukan.

Bersempena dengan kedatangan bulan yang penuh keberkatan ini juga, kerajaan negeri turut menyeru semua lapisan masyarakat agar sentiasa memelihara solat dan batasan aurat di samping menjaga adab pergaulan demi kemaslahatan bersama.

Oleh yang demikian, dengan tema “Perlisku Bestari Berkat Lestari”, kerajaan negeri berharap agar Ramadan tahun ini diraikan dengan penuh keberkatan serta mengekalkan keharmonian dalam masyarakat.

 

RELATED ARTICLES

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments