Pada 24 Februari 2025, Delegasi dari Perlis diketuai Exco Kerajaan Negeri Perlis, YB Tuan Izizam Bin Ibrahim, dan disertai oleh ahli-ahli perniagaan tempatan terbang ke China sebagai usaha menarik pelaburan luar dan meningkatkan kualiti ekonomi negeri.
Satu pertemuan penting telah berlangsung di Hangzhou, China, yang menyaksikan kerjasama antara usahawan berjaya dari Hangzhou City Wenzhou Chamber of Commerce dan Datuk Bandar Hangzhou.
Pertemuan ini bertujuan untuk membincangkan peluang kerjasama serta pelaburan yang berpotensi memasuki negeri Perlis.
Sesi perbincangan memfokuskan kepada pelaburan dalam beberapa sektor utama, termasuk industri pembuatan, teknologi, serta pembangunan infrastruktur.
Dalam era globalisasi ini, kemasukan pelaburan asing dapat memacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan daya saing, dan merangsang inovasi di kalangan pengusaha tempatan.
Datuk Bandar Hangzhou turut memberi sokongan penuh terhadap cadangan kerjasama ini.
Beliau menekankan kepentingan pembangunan ekonomi yang seimbang antara kedua-dua kawasan, dengan harapan agar kerjasama itu dapat meningkatkan kesejahteraan masyarakat di Hangzhou dan juga Perlis.
Peluang ini bukan sahaja akan memperkaya sektor perniagaan dan industri, tetapi juga berupaya mencipta peluang pekerjaan bagi rakyat tempatan, yang secara langsung meningkatkan taraf hidup mereka.
Dengan kolaborasi dan sokongan daripada semua pihak, Perlis berpotensi untuk menjadi destinasi pelaburan yang lebih menarik dan mampan.