YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, menyeru agar semua peniaga bazar Ramadan di negeri ini menjaga kebersihan kawasan perniagaan mereka demi keselesaan pelanggan.
Seruan ini disampaikan dalam Majlis Infaq Ramadan 1446H yang berlangsung di Dewan 2020 pada hari Sabtu, 22 Februari 2025 baru-baru ini.
Beliau menekankan bahawa menjaga kebersihan bukan sahaja mencerminkan nilai murni tetapi juga dapat menarik lebih ramai pelanggan ke gerai mereka.
“Peniaga perlu pastikan kawasan berniaga masing-masing bersih ketika sebelum, semasa, dan selepas berniaga, serta membuang sampah di tempat yang betul.”
Selain itu, beliau menggalakkan peniaga untuk berniaga dengan penuh keikhlasan, sambil mengharapkan keberkatan rezeki daripada Allah.
Beliau turut mengingatkan supaya banyakkan berzikir dan berselawat agar tidak melupakan Tuhan yang memberikan rezeki.
Menjelang Ramadan yang bakal tiba, beliau menyeru seluruh rakyat supaya membuat persiapan rohani secukupnya dan menjadikan bulan mulia ini sebagai ruang untuk meningkatkan amal ibadah dan memperbaiki diri.