Menurut EXCO Penerangan dan Digital Perlis, Ustaz Asrul Aimran, Syarikat perkapalan terkemuka dunia, MAERSK, dijangka membawa pulangan besar kepada rakyat dan negeri Perlis.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam acara MIDA Invest Series – Perlis: Uncovering the Hidden Gem yang berlangsung di Perdana Hall, MIDA Sentral, Kuala Lumpur, pada 20 Februari 2025, baru-baru ini.
“Melihat kepada sambutan luar biasa terhadap temuduga terbuka baru-baru ini di Perlis, jelas menunjukkan ramai anak jati negeri ini berhasrat untuk kekal di Perlis, membantu keluarga mereka, dan berkhidmat demi kemajuan negeri kelahiran mereka,” ujarnya.
Tambah beliau, penyertaan aktif ini membuktikan potensi besar tenaga kerja tempatan yang bersedia menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Menurut beliau lagi, institusi pengajian tinggi (IPT) di Perlis turut memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga mahir yang diperlukan oleh industri moden.
Selain daripada menyediakan tenaga kerja terlatih, IPT juga berfungsi sebagai pusat penyelidikan yang mampu menjana inovasi untuk merancakkan pembangunan ekonomi dan sosial negeri.
“Kerjasama erat antara kerajaan negeri, institusi pendidikan, dan sektor swasta adalah kunci utama dalam memperkukuhkan ekosistem ekonomi Perlis.
“Kami percaya sinergi ini akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya lagi.
Beliau turut berharap kehadiran syarikat antarabangsa seperti MAERSK dapat menjadi pemangkin kepada pelaburan luar yang lain, sekali gus menjadikan Perlis sebagai destinasi pelaburan strategik di utara tanah air.
“Kami yakin usaha ini akan menyemarakkan lagi kebangkitan ekonomi Perlis, selari dengan visi kerajaan negeri untuk membangunkan negeri ini secara mampan dan inklusif, in shaa Allah,” tambah beliau.