Seramai 750 penerima dari 15 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Perlis menerima sumbangan keperluan asas sempena Majlis Infaq Ramadan 1446H.
Majlis ini telah berlangsung di Dewan 2020, Kangar pada hari Sabtu, 22 Februrari 2025 baru-baru ini.
Sumbangan ini merangkumi 10 kilogram beras, 5 kilogram minyak masak, 1 kilogram gula, 1 liter kordial sirap ros, dan sebuah beg besar IKEA bagi memudahkan penerima membawa barangan tersebut.
Dalam ucapannya, YAB Menteri Besar menyatakan bahawa program ini sejajar dengan seruan Allah untuk berinfak di jalan-Nya sebagai satu usaha membersihkan dan menyucikan diri.
Beliau berharap sumbangan ini dapat membantu rakyat membuat persiapan menjelang bulan Ramadan dan meringankan beban golongan yang memerlukan.
Beliau turut mengajak rakyat, khususnya umat Islam, untuk memanfaatkan bulan Ramadan sebagai peluang mendekatkan diri kepada Allah, di samping memperbaiki diri serta meningkatkan ibadah.
Turut hadir dalam majlis tersebut Dato’ Rahimi bin Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Barisan EXCO Kerajaan Negeri serta ADUN-ADUN, Encik Zulkafli bin Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Perlis (MBI) merangkap Pengarah Mutiara Perlis, Encik Wan Ahmad Zaheed Wan Mohamad, Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mutiara Perlis, serta Encik Azly Abd Kadir, Ketua Pegawai Eksekutif
Citaglobal Berhad yang menjadi penaja bersama Program Infaq Ramadan Perlis tahun ini.