Dalam satu sidang media Pesta Angin Timur 2025 yang diadakan semalam, YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli menyeru semua pihak menerima dengan lapang dada ketentuan Allah SWT yang menurunkan hujan.
Menurut beliau, seluruh pihak amat berdukacita, namun ia tidak sepatutnya menyebabkan rasa marah terhadap takdir yang telah ditetapkan.
”Cuba tengok urus setia yang ada dalam khemah ni, semua orang sedih,” ujarnya.
Beliau mengingatkan, “Mempertikaikan takdir Allah boleh menjejaskan akidah.”
Justeru, masyarakat diseru untuk bersabar dan menerima ujian ini dengan penuh ketabahan.
Tambah beliau, segala risiko yang berlaku akibat cuaca tidak menentu perlu ditanggung bersama oleh semua pihak yang terlibat.
Dalam kenyataan yang sama, beliau turut melahirkan rasa kecewa terhadap pihak yang mempersoalkan penganjuran acara tersebut, terutamanya berhubung kegagalan pada hari pertama penganjuran.
Beliau menegaskan bahawa segala usaha telah dilakukan dengan sebaik mungkin, namun ketentuan Allah adalah di luar kuasa manusia.
”Persiapan tahun ini merupakan persiapan terbaik yang pernah kita lakukan,” tambahnya.
Walaupun terdapat perubahan lokasi dan beberapa kekangan, beliau optimis bahawa Pesta Angin Timur tahun ini akan menjadi lebih menarik dengan pelbagai aksi yang memukau.
“Saya akan hadir ke semua lokasi acara bagi menunjukkan sokongan kerajaan negeri.”