Menurut YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, semua acara utama akan diteruskan seperti yang dirancang.
Namun begitu, beberapa perubahan lokasi telah dilakukan bagi memastikan kelancaran program.
Kampung Lat Seribu akan menjadi lokasi utama bagi beberapa acara seperti bola jaring bendang, bola tampar, larian angin timur dan mud challenge, yang akan kekal diadakan di lokasi tersebut.
Selain itu, arca jerai, pertandingan kayuh basikal atas titi, dan pertunjukan wau helang juga akan berlangsung di sini.
Acara kenduri rakyat tetap diteruskan di Tapak Angin Timur, dengan juadah utama berupa jamuan kurma daging yang dimasak secara gotong-royong oleh penduduk setempat.
Institut Latihan Perindustrian (ILP) Perlis pula akan menjadi lokasi baharu bagi pertandingan tarik tali, menggantikan lokasi asalnya bagi memastikan kelancaran acara.
Kompleks Dewan Undangan Negeri akan menjadi tapak bagi beberapa acara menarik seperti pertunjukan belon udara panas, lori berhias, dan food truck yang akan ditempatkan di kawasan bersebelahan kompleks tersebut.
Lok 9, Kuala Perlis akan menjadi lokasi bagi pertandingan wau moden, manakala pertandingan seni silat kreatif pula akan diadakan di Sekolah Rendah Seberang Ramai, Kuala Perlis.
Bagi peminat irama Malaysia, pertandingan nyanyian akan diadakan di Jan Cafe, Sungai Batu Pahat.
Sementara itu, pertandingan makanan tradisional seperti asam pedas, tepung talam, pulut udang, bubur Perlis, dan dodol Perlis akan berlangsung di Yayasan Pok Dan Kassim, Pengkalan Asam, berhampiran KPJ.
Kangar Jaya pula akan menjadi lokasi bagi pertandingan paramotor yang dijangka menarik penyertaan ramai.
Bagi pengunjung yang ingin menghadiri acara ini, pihak penganjur menggalakkan penggunaan ‘drop point’ kerana kawasan parkir berhampiran tapak acara agak terhad disebabkan oleh air bertakung.
Penduduk sekitar juga digalakkan untuk datang dengan menaiki motosikal bagi memudahkan pergerakan dan mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam satu sidang media Pesta Angin Timur 2025 pada jam 12 tengah malam, semalam.