Syarikat gergasi logistik dari Denmark, MAERSK Logistics & Services Malaysia Sdn Bhd, meneroka peluang pelaburan di Perlis menerusi pemeteraian Memorandum Kolaborasi (MoC) bersama Kerajaan Negeri Perlis.
Pengumuman ini dibuat oleh YAB Menteri Besar Perlis dalam ucapannya di MIDA Invest Series – Perlis: Uncovering the Hidden Gem di Perdana Hall, MIDA Sentral, Kuala Lumpur pada 20 Februari 2025, semalam.
Kerjasama ini bertujuan memperkukuhkan peranan Perlis Inland Port (PIP) sebagai hab logistik serantau melalui pembangunan sehingga Fasa 3.
Melalui MoC ini, syarikat usahasama antara PIP dan MAERSK akan ditubuhkan untuk memastikan pembangunan infrastruktur logistik berjalan lancar, dengan tumpuan kepada operasi bertaraf antarabangsa.
Katanya, “Penglibatan MAERSK dijangka dapat meningkatkan penggunaan rangkaian pengangkutan kargo berasaskan kereta api bagi merancakkan pergerakan rentas sempadan ke Thailand.”
“Kerajaan Negeri Perlis turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Bina Darulaman Berhad (BDB) untuk membangunkan komponen utama dalam Projek Pelabuhan Sanglang Perlis (PSP).”
“Fokus utama projek ini adalah pembangunan Langkawi Supply Base bagi bekalan kargo ke Langkawi, Langkasuka Supply Base untuk industri minyak dan gas pesisir, serta Terminal Kargo Pukal bagi kargo pukal kering dan cecair.”
Selain itu, kerjasama antara Perlis dan Pelabuhan Pulau Pinang yang dimeterai pada November 2024 dijangka dapat memperkukuh pergerakan kontena rentas sempadan antara Sumatera, Pulau Pinang, Perlis, dan Thailand, menjadikan Perlis pintu masuk utama untuk perdagangan serantau.
Kerajaan Negeri turut mengalu-alukan pelaburan dalam sektor pertanian moden dan pelancongan, memandangkan Perlis dilabel sebagai ‘hidden gem with great potentials’.
Keindahan alam semula jadi serta potensi dalam industri pertanian seperti penanaman padi berteknologi tinggi, harumanis, dan perikanan dilihat mampu meningkatkan lagi produktiviti ekonomi negeri ini.