Sunday, 16 March, 2025
HomePelaburanPERLIS MAMPU JANA RM 800 JUTA HASIL DUA KERJASAMA STRATEGIK

PERLIS MAMPU JANA RM 800 JUTA HASIL DUA KERJASAMA STRATEGIK

Perlis dijangka menjana lebih RM800 juta kesan limpahan daripada dua kerjasama strategik yang dimeterai bagi memacu projek berimpak tinggi di negeri tersebut.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, berkata kerjasama yang merangkumi Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Kerjasama (MoC) itu dijangka mewujudkan peluang pekerjaan sehingga 70 peratus kepada rakyat negeri ini, termasuk graduan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Beliau turut menegaskan bahawa meskipun Perlis merupakan sebuah negeri kecil, potensinya besar, terutama dengan hubungan antara Perlis dan Pulau Pinang yang boleh dimanfaatkan untuk merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi dalam sektor automotif, tenaga hijau dan pertanian.

“Perlis juga memperkenalkan dua projek berimpak tinggi, iaitu Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) dan Pelabuhan Darat Perlis (PIP) yang terletak di Chuping.

“CVIA dirangka untuk menyokong pembangunan lestari Malaysia serta agenda alam sekitar menerusi projek berdaya maju dengan teknologi sebagai pemacu utama.

Ia menjadi lokasi yang menarik bagi pelabur untuk menubuhkan syarikat dalam empat kluster utama, iaitu pembuatan hijau, industri halal, tenaga boleh diperbaharui dan automotif (kenderaan cekap tenaga),” katanya pada sidang media sempena Siri MIDA Invest Perlis di sini, hari ini.

Yang turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Rahimi Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid, serta Exco Digital, Asrul Aimran Abd Jalil.

MoU yang dimeterai membabitkan Mutiara Perlis Sdn Bhd dan Bina Darulaman Bhd, manakala MoC pula melibatkan kerjasama antara Mutiara Perlis Sdn Bhd dan MAERSK Logistics & Services Malaysia Sdn Bhd.

Kerjasama strategik ini bertujuan meningkatkan kecekapan logistik, pembangunan infrastruktur dan memperkukuh hubungan perdagangan antarabangsa, sekali gus mengukuhkan kedudukan Perlis sebagai hab logistik di rantau ini.

Mohd Shukri turut menjelaskan bahawa kerajaan negeri menyasarkan pembangunan di CVIA merangkumi lebih 2,900 hektar tanah dengan potensi menarik ramai pelabur, terutamanya dalam sektor pembangunan tenaga solar, pusat data dan pertanian.

“Kami juga menjangkakan kehadiran sekitar 20 hingga 30 pelabur bagi melengkapkan pembangunan CVIA secara menyeluruh.

“Sehubungan itu, kami optimis industri berkaitan automotif serta rangkaian automotif dan pertanian akan berkembang pada tahun ini.

“Bagaimanapun, jangkaan nilai pelaburan masih belum dapat ditentukan kerana ia bergantung kepada persetujuan yang dicapai.

“Kesan daripada perjanjian ini masih dalam perbincangan antara kedua-dua pihak bagi menentukan nilai sebenar pelaburan,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa kawasan perindustrian baharu itu dijangka dapat mengoptimumkan potensinya dengan manfaat daripada PIP.

“Dengan ketersambungan infrastruktur yang baik serta pelan pembangunan pada tahun-tahun akan datang, ia dijangka memberi banyak manfaat kepada Perlis dan rakyatnya, selain memacu pembangunan ekonomi negeri.

“Sebagai sebahagian daripada Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT), saya yakin bahawa kedua-dua projek ini bakal menjadi hab ideal bagi pelabur untuk meneroka peluang dan menubuhkan perniagaan baharu di Perlis,” katanya.

RELATED ARTICLES

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments