Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli menegaskan bahawa kesepakatan dalam masyarakat adalah asas utama kejayaan sesuatu program, termasuklah penganjuran Pesta Wau dan Sukan Angin Timur DUN Beseri yang telah berlangsung semalam (16 Februari 2025).
Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa usaha untuk menyatukan masyarakat bukanlah perkara mudah dan memerlukan keazaman serta kesabaran.
Bagi beliau, manusia hanya benar-benar bersatu apabila berada dalam keadaan terdesak dan ketakutan.
Beliau mengibaratkan keadaan ini dengan berkata, “Jika berada di tengah laut dan perahu karam, semua pasti bekerjasama untuk berenang ke darat kerana takut akan kematian.
“Namun, dalam kehidupan seharian, mengapa kesepakatan ini sukar untuk diwujudkan?”
Menurutnya, dalam usaha menjayakan sesuatu program atau agenda bersama, pelbagai cabaran pasti akan timbul.
“Kita harus menerima kelemahan rakan-rakan kita kerana setiap individu itu mempunyai kelebihan tersendiri, dan dari sinilah perlu untuk kita saling melengkapi.
“Hanya dengan semangat ini, kesepakatan sebenar dapat diwujudkan,” katanya.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri, Haziq Asyraf.
Menteri Besar Perlis turut menekankan bahawa perpaduan dalam masyarakat harus melangkaui batas perbezaan kaum dan latar belakang.
“Marilah kita bersama-sama membentuk masyarakat yang harmoni.
“Saya tidak melihat kepada perbezaan warna dalam pentadbiran, tetapi lebih menitikberatkan tentang kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya,” ujarnya.
“Kami akan berusaha sebaik mungkin untuk rakyat kerana keadilan itu hak milik semua.
“Jika ada teguran, saya sentiasa terbuka untuk berbincang,” tambahnya.
Dalam ucapannya, beliau turut menyeru masyarakat Melayu agar lebih bersatu, khususnya dalam aspek ekonomi.
“Jika kaum lain boleh bersatu dan membentuk persatuan serta jaringan ekonomi yang kukuh, mengapa tidak kita?
“Orang Melayu juga mampu untuk berbuat demikian.
“Biar negeri tidak maju, asalkan rakyat kita maju,” katanya.
Demikian ucapan beliau semasa Majlis Perasmian Pesta Wau dan Sukan Angin Timur DUN Beseri yang juga merupakan penganjuran kali kedua serta telah mendapat sambutan hangat daripada masyarakat setempat.
