Pertandingan tarik tali sempena Pesta Wau dan Sukan Angin Timur DUN Beseri berlangsung dengan penuh semangat dan meriah petang semalam, 15 Februari 2025.
Acara yang bermula pada jam 5.30 petang itu menyaksikan kehadiran lebih 300 penonton yang memberikan sorakan dan sokongan padu kepada komuniti yang bertanding.
Sebanyak sembilan kumpulan lelaki dan perempuan dari pelbagai komuniti sekitar DUN Beseri mengambil bahagian dalam pertandingan ini.
ADUN Beseri, Haziq Aysraf turut hadir untuk memberikan sokongan serta menyemarakkan semangat kesukanan dalam kalangan peserta dan penonton.
Bagi kategori lelaki, pasukan Koma 3 Hari muncul sebagai juara selepas menewaskan pasukan Sisik Tikam.
Sementara itu, dalam kategori wanita, pasukan Lembah Biak Luncur berjaya meraih gelaran juara manakala pasukan Team Shima merangkul tempat naib juara.
Selain pertandingan tarik tali, pelbagai aktiviti lain turut dinikmati oleh para pengunjung seperti Sukaneka Rakyat, bengkel wau, Petting Zoo, pameran fosil dan batu permata, serta pertandingan tarik traktor.
Tidak lupa juga, festival makanan yang menawarkan pelbagai juadah tempatan bagi memenuhi selera para pengunjung yang hadir.
Pertandingan ini bukan sahaja menguji kekuatan fizikal tetapi turut memupuk semangat berpasukan serta merapatkan hubungan antara komuniti setempat.