Seramai 150 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah di Perlis menerima bantuan kelengkapan sekolah menerusi Program Back to School anjuran portfolio Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Program ini telah berlangsung dengan jayanya pada hari Sabtu, 8 Februari yang lalu, di Dewan Residensi, Kediaman Menteri Besar Perlis.
Program ini bertujuan untuk meringankan beban ibu bapa berpendapatan rendah serta memastikan pelajar dapat memulakan sesi persekolahan dengan semangat baharu.
Seramai 150 pelajar daripada 15 DUN di Perlis terpilih sebagai penerima, dengan setiap DUN menyumbangkan 10 peserta, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan bernilai RM15,000.
Setiap pelajar menerima baucar pakaian seragam sekolah bernilai RM100 serta sebuah beg sekolah yang boleh ditebus di mana-mana cawangan Pusat Pakaian Hari-Hari Negeri Perlis.
Sebagai nilai tambah kepada program ini, satu sesi perkongsian ilmu bertajuk “Kepentingan Menuntut Ilmu” telah disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Hashim bin Othman Al-Hafiz, pesara Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), sebelum sesi penyerahan bantuan dijalankan.
Kejayaan program ini turut disokong oleh kehadiran beberapa wakil rakyat lain, antaranya ADUN Simpang Empat, Razali Saad, ADUN Sena, Datin Marzita Mansor, AUDN Chuping,(ADUN Indera Kayangan), Gan Ay Ling.
Menurut EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Perlis, Puan Wan Badariah Wan Saad, beliau amat berpuas hati dengan kelancaran program kali ini.
“Bantuan ini bukan sahaja untuk memastikan pelajar mendapat kelengkapan sekolah yang mencukupi, tetapi juga untuk memberi motivasi kepada mereka supaya lebih bersemangat dalam menuntut ilmu.
“Saya berharap inisiatif ini dapat memberi manfaat kepada ibu bapa serta pelajar yang memerlukan,” katanya.
“Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus dalam menjayakan program ini.
“Semoga usaha ini menjadi satu langkah berterusan dalam memastikan kesejahteraan pendidikan pelajar di negeri Perlis,” tambah beliau.
