Kerajaan Negeri Perlis telah memperkenalkan tema “Perlisku Bestari Berkat Lestari” dalam Belanjawan 2025, sebagai usaha memperkukuh pembangunan negeri yang seimbang dan lestari.
Menteri Besar Perlis, YAB Mohd Shukri Ramli menjelaskan bahawa tema ini membawa empat elemen utama.
“Perlisku” mencerminkan rasa kepemilikan dan tanggungjawab rakyat terhadap negeri, “Bestari” melambangkan kebijaksanaan dan kecemerlangan, “Berkat” menekankan kesejahteraan dan keberkatan, manakala “Lestari” mengutamakan kesinambungan pembangunan untuk generasi akan datang.
“Belanjawan 2025 bukan sekadar perancangan kewangan, tetapi satu usaha strategik untuk memastikan Perlis terus berkembang secara mampan dan inklusif,” ujar beliau.
Sejumlah 20 inisiatif telah pun digariskan bagi mencapai visi ini.
Bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan, kerajaan negeri akan menubuhkan “Institut Strategik Perlisku Bestari” sebagai badan pemikir yang berperanan memantau dan mengelola Gagasan Perlisku Bestari Berkat Lestari (PBBL).
Kerajaan negeri optimis bahawa langkah ini akan memastikan keberkesanan dasar serta memperkukuh penyelarasan program pembangunan.
“Semua pihak, termasuk rakyat, diseru untuk bersama-sama memainkan peranan dalam menjayakan visi ini demi kesejahteraan negeri Perlis.”
Beliau berkata sedemikian dalam Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 pada 23 Januari lalu, yang dihadiri oleh penjawat awam Perlis dan Persekutuan, bertempat di bertempat di Dewan Banquet Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Kangar, Perlis.