Sunday, 16 March, 2025
HomeUmum"PERJUANGAN AL-QUDS MILIK KITA SEMUA" - TEGAS MB PERLIS

“PERJUANGAN AL-QUDS MILIK KITA SEMUA” – TEGAS MB PERLIS

Minggu Al-Quds Sedunia 2025 telah berjaya dimulakan di Negeri Perlis dengan pelancaran yang disempurnakan oleh YAB Tuan Mohd Shukri Ramli, Menteri Besar Perlis.

Acara yang berlangsung di Dewan Utama Perlis ini telah menjadi titik permulaan bagi siri program besar yang bakal berakhir di Kelantan nanti, sebagai lambang perpaduan umat Islam dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin dan menegakkan kedaulatan Masjid Al-Aqsa.

Majlis perasmian turut menyaksikan kehadiran Exco Belia dan Sukan, Ustaz Ridzuan Hashim, ADUN Beseri, Haziq Asyraf, ADUN Chuping, Saad Seman, CEO MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor, Pengarah YIPs, Tuan Noorhamizi Mohd Yaacob, dan Prof Madya Dr Aminurrasyid.

Dalam ucapan perasmiannya, YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, telah menyeru umat Islam di seluruh dunia untuk mengambil iktibar daripada penderitaan umat Islam di Palestin.

Beliau menekankan pentingnya peranan umat Islam di Malaysia dalam memberikan sokongan berterusan kepada saudara-saudara mereka di Palestin, terutama dalam mempertahankan Masjid Al-Aqsa.

“Marilah kita bersama-sama memperteguhkan saf hadapan dalam memastikan keselamatan dan keutuhan Masjid Al-Aqsa.”

“Ini bukan sahaja perjuangan Palestin, tetapi perjuangan kita semua sebagai umat Islam.”

“Bantuan daripada doa, kewangan, dan segala bentuk sokongan amat diperlukan untuk memastikan kejayaan perjuangan ini,” ujar YAB Menteri Besar Perlis.

Acara tersebut turut diwarnai dengan gimik perasmian yang menyentuh hati, termasuk tayangan video saat-saat akhir hidup seorang anak kecil bernama Hind Rajab yang terkorban akibat keganasan Rejim Zionos.

Tayangan ini diikuti dengan simbolik penyampaian ‘baton perjuangan’ daripada ‘Yahya Sinwar’, mencerminkan semangat juang yang terus membara demi menuntut kebebasan dan kedaulatan Palestin.

YAB Menteri Besar Perlis turut mengingatkan bahawa tragedi yang menimpa Palestin harus menjadi pengajaran penting kepada umat Islam untuk memastikan kekejaman serupa demikian tidak berlaku di negara lain.

Beliau telah menyeru semua pihak untuk terus mendukung perjuangan ini, termasuk memberi sokongan kepada barisan hadapan yang berjuang untuk hak Masjid Al-Aqsa.

Sebagai tanda simbolik, YAB Mohd Shukri Ramli telah merasmikan Minggu Al-Quds Sedunia 2025 dengan penuh harapan bahawa setiap usaha yang dilakukan akan dirahmati dan diberkati oleh Allah SWT.

Minggu Al-Quds Sedunia 2025 akan terus berjalan dengan pelbagai program yang melibatkan kerjasama NGO dan badan kebajikan, bertujuan mengumpul dana serta sokongan moral untuk perjuangan rakyat Palestin.

RELATED ARTICLES

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments