Pelepasan konvoi Minggu Al-Quds Sedunia 2025 pada 25 Januari hari ini telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, di Batu Kilometer 0, Kangar, tepat jam 6 petang tadi.
Acara ini disertai seramai 200 peserta yang hadir untuk memeriahkan pelepasan konvoi.
Selepas pelepasan, konvoi bergerak ke Dataran Kurung Tengar, Kuala Perlis, sebelum mengiringi 15 peserta utama ke R&R Pauh.
Di sana, baton perjuangan secara simbolik diserahkan kepada ARC Kedah untuk meneruskan jelajah ke negeri seterusnya.
Konvoi ini akan diteruskan dengan menjelajah ke seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak, dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat tentang perjuangan rakyat Palestin dan kepentingan solidariti umat Islam.
Konvoi ini diketuai oleh YB Afnan Hamimi bin Taib Azamudden, Ahli Parlimen Alor Setar yang juga merangkap Penasihat Alternative Riding Club (ARC).
Dalam ucapan pelepasan, YAB Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, menegaskan, “Kita akan terus berjuang sehingga Israel lenyap dari muka bumi ini.”
Beliau turut berharap semangat perjuangan ini tidak hanya terbatas kepada sambutan Minggu Al-Quds Sedunia, tetapi diteruskan sehingga Palestin mencapai kebebasan sepenuhnya.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Exco Belia dan Sukan, Ustaz Ridzuan Hashim, serta ADUN Beseri, Haziq Asyraf.
Konvoi ini dijangka menjadi simbol solidariti rakyat Malaysia terhadap Palestin, di samping menyemarakkan semangat perpaduan umat Islam di seluruh negara.