YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, menggesa anggota Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) untuk menjalankan mesyuarat sekurang-kurangnya enam kali setahun.
Seruan ini diutarakan semasa Majlis Penyerahan Elaun Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) dan Amanat YAB Menteri Besar Perlis 2025 yang telah diadakan pada hari Isnin, 9 malam, bertempat di Dewan Warisan Kangar.
“Mesyuarat yang kerap bukan sahaja memastikan urusan pentadbiran berjalan lancar, tetapi juga menyediakan platform penting untuk membincangkan isu-isu semasa yang melibatkan kampung, memperkemas penyelarasan antara ahli, serta mengenal pasti keutamaan dan langkah-langkah penambahbaikan dalam pengurusan kampung,” katanya.
Beliau turut menggesa anggota MPKK agar aktif menyertai program dan kursus anjuran kerajaan negeri.
“Penyertaan dalam kursus seperti pengurusan bencana, kepimpinan, dan pembangunan komuniti, bukan sahaja meningkatkan kemahiran dan pengetahuan, tetapi juga memperkasakan MPKK untuk memahami dasar-dasar kerajaan serta memenuhi keperluan komuniti yang sentiasa berubah.”
“Penyertaan ini akan membantu anggota MPKK menjadi pemimpin yang lebih berwibawa, efisien, dan peka terhadap isu-isu setempat,” tambahnya.
Beliau juga berharap agar hubungan erat antara MPKK dan kerajaan negeri terus diperkukuh.
Kerjasama ini penting untuk memastikan dasar-dasar kerajaan dilaksanakan dengan lebih berkesan, selain menyumbang kepada pembangunan kampung yang mampan demi kesejahteraan rakyat Perlis.
Langkah-langkah yang dicadangkan oleh YAB Menteri Besar diharap dapat menjadikan MPKK sebagai entiti yang lebih dinamik dan berkesan dalam menyampaikan aspirasi kerajaan kepada rakyat.