Pada 15 Januari 2025 yang lepas, Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis telah menerima kunjungan daripada warga Sekolah Al Madrasah Ad-Diniah Al Islamiah (MADI) dalam program “Jaulah Perlis Pasca UASA” sesi 2024/2025.
Lawatan ini melibatkan 12 orang guru dan 92 orang pelajar.
Dalam sesi lawatan tersebut, pelajar-pelajar MADI telah diberi layanan istimewa dan berpeluang masuk ke dalam Dewan Persidangan Kompleks DUN.
Mereka juga telah mengambil peluang ini untuk beramah mesra dengan YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
“Saya berbesar hati menyambut kehadiran pelajar-pelajar MADI ke Kompleks DUN.”
“Saya berharap lawatan ini dapat memberikan pendedahan bermakna mengenai sistem pentadbiran dan demokrasi negeri,” kata YAB Menteri Besar Perlis.
Beliau turut menekankan pentingnya usaha sebegini diteruskan untuk melahirkan generasi muda yang celik kepimpinan dan berwawasan.
Program ini juga mendapat sokongan padu daripada beberapa tokoh penting negeri, termasuk Speaker DUN Perlis, YB Tuan Rus’sele bin Eizan, Setiausaha Politik MB, Tuan Mustaqim Abdullah, Exco Kerajaan Negeri, Wan Badariah Wan Saad, serta Setiausaha Akhbar MB, Mohamad Azreen Jumri.
Ketua rombongan, Ustaz Zul Hilmi Rasid, menyatakan rasa syukur dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan lawatan ini.
Beliau menyifatkan pengalaman ini sebagai satu suntikan semangat kepada para pelajar untuk terus maju dalam pelajaran dan memahami peranan penting mereka sebagai generasi peneraju masa depan.
