Tempoh hari, YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, telah melaksanakan tanggungjawabnya membayar cukai tanah di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri Perlis.
Walaupun bergelar seorang Menteri Besar, beliau tetap memilih untuk beratur bersama rakyat yang lain bagi menunggu giliran untuk membuat bayaran.
Sambil menunggu, beliau mengambil kesempatan ini untuk menyantuni rakyat yang hadir.
“Saya mengajak semua rakyat Perlis untuk menjelaskan cukai tanah lebih awal bagi menikmati diskaun sebanyak 10% yang ditawarkan sehingga 31 Mac ini,” seru beliau.
Selain itu, kerajaan negeri juga telah mengumumkan diskaun sebanyak 50% ke atas denda pelanggaran syarat tanah sehingga 31 Disember ini, sebagai langkah meringankan beban rakyat dan menggalakkan kepatuhan kepada peraturan tanah.
Dalam usaha memudahkan urusan pembayaran cukai tanah, YAB Mohd Shukri Ramli turut melawat kaunter PPTG bergerak yang disediakan bagi membantu rakyat yang menghadapi kesukaran untuk hadir ke pejabat tanah secara fizikal.
Turut hadir dalam lawatan ini ialah YB Speaker Dewan Undangan Negeri, Rus’sele Eizan, yang bersama-sama meninjau operasi kaunter pembayaran tersebut.
Rakyat Perlis diseru untuk mengambil peluang ini bagi mengelakkan penalti dan menyokong pembangunan negeri melalui pembayaran cukai tanah yang tepat pada masanya.