YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, mengumumkan bahawa Majlis Perbandaran Kangar (MPK) akan menganjurkan bazar Ramadan tahun ini dengan kadar sewa yang paling rendah, hanya RM30 sebulan.
Pengumuman tersebut dibuat selepas beliau mengadakan tinjauan di Pasar Malam Kangar pada hari Rabu lepas.
Turut hadir dalam tinjauan tersebut ialah EXCO Kerajaan Tempatan, Ustaz Asrul Imran Abd Jalil, EXCO Belia & Sukan, Ustaz Ridzuan Hashim serta Yang Dipertua MPK, Affendi Rajini Kanth.
Menurut YAB Menteri Besar, “keputusan ini diambil sebagai satu inisiatif untuk membantu para peniaga kecil menjalankan perniagaan dengan lebih efisien dan mengurangkan beban kos mereka.”
“Saya ucapkan tahniah kepada Yang Dipertua MPK dan pihak majlis kerana mengambil langkah proaktif ini.”
“Saya berharap dengan kadar sewa yang rendah ini, peniaga tidak menaikkan harga makanan dan terus menjaga kualiti serta kebersihan,” katanya.
Dalam usaha mengekalkan kebersihan bazar, MPK turut memperkenalkan caj tambahan bagi peniaga yang menghasilkan jumlah sisa buangan yang tinggi.
Caj ini bertujuan untuk memastikan kebersihan persekitaran sepanjang bulan Ramadan terjamin.
“Kalau di sini kita boleh lakukan, saya yakin tempat-tempat lain juga mampu melaksanakan langkah yang sama.”
“Kita mahu suasana bazar dan pasar malam yang bersih, selesa, serta memberi manfaat kepada semua,” tambah beliau.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada para peniaga yang memberi kerjasama dalam menjayakan inisiatif ini dan berharap ia menjadi permulaan kepada transformasi kebersihan di pasar malam serta pasar tani seluruh negeri Perlis.