Karnival Sambutan Tahun Baru 2024 telah berlangsung dengan meriah di Dewan 2020, pada malam ambang tahun baru yang lepas.
Acara dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, diikuti dengan Forum Perdana Islam, Indahnya Hidup Bersyariat : Membina Generasi Ulul Albab.
Forum menampilkan tiga panel jemputan berwibawa iaitu Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, Prof Madya Dr. Mohd Akram Dahaman, dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs), dan Ustaz Mohd Nazim Mohd Noor.
Selepas itu, para hadirin disajikan dengan persembahan bacaan Al-Quran secara bertarannum oleh Ustaz Radzi Kamarul Hailan, Johan Tilawah Al-Quran Antarabangsa pada tahun 2000 dan 2004, dan adik Muhammad Aqeef Ahmad Zuhdi, Johan Tilawah Al-Quran Ihtifal KAFA Peringkat Kebangsaan Tahun 2023.
Kemuncak acara pula disemarakkan dengan kehadiran kumpulan UNIC dan Soutul Maad, yang mengakhiri malam dengan persembahan nasyid yang menghiburkan.
Ini merupakan alternatif baharu dalam menyambut tahun baru, di mana pihak penganjur menggantikan aktiviti kebiasaan dengan aktiviti kerohanian yang mampu menyegarkan jiwa.
Detik 12.00 malam disambut dengan bacaan selawat secara berjemaah oleh seluruh hadirin diketuai UNIC dan Soutul Maad.