Ahli Majlis Perbandaran Kangar (MPK) Kawasan Chuping, Tuan Haji Mohd Ali Puteh, dengan kerjasama PKWR Dun Chuping dan MPKK Dun Chuping menganjurkan program Sembang Santai Dan Kempen Kebersihan Bersama Komuniti di Kampung Chelong, Chuping.
Keprihatinan terhadap isu kebersihan ini turut disokong oleh Ahli Parlimen Padang Besar, Rushdan Rusmi.
Dalam ucapannya beliau menekankan pentingnya usaha rekayasa yang agresif dan penjenamaan semula MPK dalam memperkukuh peranan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Peranan Ahli Majlis dan MPKK adalah untuk menangani isu setempat, sementara ADUN bertanggungjawab dalam isu peringkat negeri, dan wakil Parlimen pula membawa isu besar ke peringkat pusat,” ujarnya.
Beliau juga menyeru masyarakat untuk menggunakan saluran yang tepat dalam menangani masalah berkaitan kebersihan.
“Setiap rumah perlu menyediakan tong sampah yang sesuai untuk menggantikan penggunaan telaga buruk sebagai tempat pembuangan sampah,” tambah beliau.
Beliau turut menekankan kepentingan menjaga kebersihan untuk memastikan kesihatan keluarga dan menyokong kempen kitar semula yang bukan sahaja bermanfaat untuk alam sekitar, malah memberikan pulangan kepada keluarga.
Seterusnya, taklimat kebersihan yang disampaikan oleh wakil SWCORP dan MPK bagi meningkatkan kesedaran penduduk tentang pentingnya amalan kitar semula.
Sebagai tanda keprihatinan, sumbangan pek makanan kepada golongan asnaf telah pun disampaikan oleh Tuan Haji Mohd Ali Puteh dan Ahli Parlimen Padang Besar, sebagai komitmen mereka terhadap kebajikan rakyat.
Program tersebut turut dihadiri oleh ADUN Chuping, YB Saad Seman, Pengarah JSMK MPK, Puan Rosmariani Ab Rashid, Wakil SWCORP Perlis, Tuan Ikram Ismail, serta Pengerusi MPKK Kampung Chelong.
Kempen ini telah mendapat sambutan baik daripada penduduk kampung dan berjaya mencapai objektifnya dalam mengeratkan hubungan antara komuniti dan pemimpin setempat serta menanam kesedaran tentang pentingnya kebersihan untuk kesejahteraan bersama.