EXCO Pertanian Perlis, Razali Saad menerima kunjungan rasmi daripada Lembaga Perindustrian Nenas Malaysia (LPNM), Selasa lalu di Pejabat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis, Kompleks Dewan Undangan Negeri, di sini Selasa lalu.
Kunjungan diketuai oleh Ketua Pengarah, Mohd Khairul Zambri bertujuan memberi taklimat mengenai peluang yang ditawarkan oleh LPNM kepada pengusaha-pengusaha tempatan yang berminat dalam industri penanaman nanas.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Razali Saad, sepanjang sesi tersebut, banyak manfaat penanaman nanas telah diketengahkan.
“Alhamdulillah, banyak pencapaian yang boleh kita capai sekiranya kita sertai program penanaman nanas ini.”
“Dengan sekali tanam, kita dapat tuai dalam masa 14 bulan,” ujarnya.
“Saya difahamkan tuaian pertama untuk mendapatkan hasil, tuaian kedua untuk mendapatkan anak benih nanas dan yang ketiga boleh mendatangkan hasil untuk ternakan, terutama sekali untuk lembu.”
Menurut beliau, perbincangan yang diadakan turut membuka peluang luas kepada pengusaha baharu.
“Banyak ruang dan peluang yang diberikan oleh LPNM untuk membantu pengusaha menanam nanas.”
Dalam usaha menggalakkan industri ini, Kerajaan Negeri Perlis turut memberi komitmen untuk membantu pengusaha melalui kerjasama dengan LPNM Kedah/Perlis.
“Permohonan kepada LPNM yang terletak di Kedah Perlis ini, in syaa Allah dengan kerjasama antara kerajaan negeri dan Pejabat Pertanian Negeri (PPN), kita akan bantu pengusaha-pengusaha yang ingin memulakan tanaman nanas tersebut,” jelas beliau.
Antara projek utama yang sedang dilancarkan ialah di FGV Felda, Chuping.
Projek ini dijangka menjadi pemangkin kepada pengusaha tempatan untuk menyertai program penanaman nanas.
“Jadi siapa yang berminat, sebarang urusan boleh terus hubungi LPNM Kedah Perlis atau berhubung dengan kami di Pejabat EXCO.”
“Kita akan bantu cari pengusaha-pengusaha baharu dengan nilaian yang lebih tinggi, hasil yang baik, dan kita boleh atur tuaian setiap bulan walaupun kita tanam serentak,” katanya.
Kunjungan ini diharap dapat membuka lebih banyak peluang kerjasama antara kerajaan negeri dan LPNM serta membantu menjadikan tanaman nanas sebagai salah satu sumber ekonomi baharu yang berpotensi di Perlis.