Pusat Khidmat Wakil Rakyat ADUN Mata Ayer, YB Puan Wan Badariah amat menitikberatkan keselesaan dan kemudahan penduduk DUN Mata Ayer.
Setiap kerja pembangunan, YB Puan Wan Badariah dan Pegawai Khas beliau, En. Syahrulnizam, akan meneliti dari segi kekemasan, keselamatan dan kualiti setiap barangan yang digunakan.
Baru-baru ini, beberapa projek menaik taraf telah selesai dijalankan.
Antara kerja-kerja menaik taraf di sekitar kawasan Dato’ Kayaman, Mata Ayer ialah parit kampung ditukar kepada U-drain di Kampung Behor Pekoi serta kerja-kerja menukar ‘crossing’ jalan dan mencuci parit yang bermasalah di Lorong Telaga Kabu.
Kedua-dua projek tersebut adalah di bawah kendalian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Perlis.
Selain itu, projek longkang kampung di belakang Masjid Baroh juga telah selesai dengan kerjasama Bahagian Pentadbiran Daerah (BPD) Negeri Perlis, Pengerusi MPKK Kampung Baroh, En. Yakri dan penduduk-penduduk setempat yang terlibat.
Pusat Khidmat juga membawa aduan permasalahan penduduk di kepada JPS dengan menyelesaikan kerja-kerja menaik taraf 2 ‘crossing’ jalan dan dua pintu air di Kampung Mata Ayer. Aduan mengenai masalah limpahan air dari bukit dan IPD Trafik Arau ketika hujan sering kali menyebabkan berlakunya banjir kilat di kawasan sekitar.
Pusat Khidmat Wakil Rakyat ADUN Mata Ayer melalui hantaran di platform ‘Facebook’ mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama dan bersabar sepanjang kerja-kerja pembaikan dijalankan.