YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, mengumumkan bahawa pemberian bonus khas sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam, termasuk kakitangan kontrak, akan diagihkan sekali sahaja pada 23 Disember 2024.
Pengumuman terkini ini menggantikan jadual agihan asal yang sebelum ini dirancang secara berperingkat pada Disember 2024 dan Mac 2025.
“Ini adalah tanda penghargaan kerajaan negeri atas komitmen tinggi penjawat awam dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.”
“Ini juga adalah tanda terima kasih kita kepada penjawat awam yang sentiasa menjadi tulang belakang pentadbiran negeri kita.”
“Keberkesanan pentadbiran kita bergantung kepada dedikasi dan integriti mereka,” ujar beliau.
Beliau mengumumkan perkara tersebut dalam Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis Bilangan 2 Tahun 2024 di Dewan Banquet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis.
Beliau turut berharap agar pemberian ini dapat memberikan suntikan semangat kepada penjawat awam untuk terus berkhidmat dengan lebih cemerlang demi kemajuan negeri Perlis.
Melalui agihan serentak pada 23 Disember ini, penjawat awam di seluruh negeri dijangka akan menerima manfaat secara langsung menjelang akhir tahun.
Kerajaan Negeri Perlis berharap inisiatif ini akan menjadi pemangkin kepada penjawat awam untuk terus meningkatkan prestasi, integriti dan kecekapan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri Perlis.