Kejohanan Liga Komuniti 9 Sebelah Bola Sepak Piala Menteri Besar Perlis telah berlangsung dengan meriah pada hari Sabtu lepas, bertempat di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar.
Acara yang bermula pada jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang itu menyaksikan penyertaan 15 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menghantar wakil masing-masing bagi merebut kejuaraan tersebut.
Perlawanan berlangsung dengan penuh semangat kesukanan dan disertai sorakan padu daripada para penyokong yang hadir.
Setiap pasukan telah pun menunjukkan komitmen yang gigih sepanjang kejohanan tersebut.
Majlis perasmian dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh EXCO Belia dan Sukan, Mohd Ridzuan Hashim.
Dalam ucapan beliau, menyatakan kejohanan seperti ini bukan sahaja bertujuan mencungkil bakat baharu dalam bola sepak tempatan tetapi juga untuk memupuk semangat perpaduan dan kerjasama dalam kalangan komuniti Negeri Perlis.
Keputusan kejohanan menyaksikan pasukan ADUN Kuala Perlis muncul sebagai juara dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM3,000.
Tempat kedua pula dimenangi oleh pasukan ADUN Indera Kayangan yang menerima hadiah sebanyak RM1,500.
Sementara itu, tempat ketiga dikongsi oleh pasukan ADUN Santan dan ADUN Titi Tinggi dengan hadiah kemenangan berjumlah RM500.
Kejohanan ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk tempatan dan berjaya mencipta suasana yang penuh dengan kemeriahan di Stadium Tuanku Syed Putra.
Dengan penglibatan aktif semua pihak, kejohanan ini dilihat sebagai platform terbaik untuk mengeratkan silaturahim antara penduduk serta membudayakan gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan.