Kejohanan Sepak Raga Tuju Piala YB Wan Zikri Afthar yang berlangsung semalam mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan pasukan dari pelbagai negeri.
Acara ini bukan sahaja berjaya menarik minat golongan belia, malah turut melibatkan peserta daripada pelbagai lapisan umur.
Kejohanan yang diadakan di Tapak Pasar Malam Titi Chai, berhadapan Pusat Khidmat Wakil Rakyat Tambun Tulang itu, bermula seawal jam 9 pagi dengan sesi memanaskan badan.
Sepanjang kejohanan berlangsung, para peserta mempamerkan aksi penuh semangat dan kemahiran yang tinggi dalam sukan sepak raga tuju, menjadikan pertandingan ini sengit dari mula sehingga tamat.
Menurut ADUN Tambun Tulang, YB Wan Zikri Afthar, kejohanan ini bukan sahaja bertujuan memupuk semangat kesukanan, tetapi juga sebagai platform untuk mengeratkan silaturahim antara penduduk tempatan dan pengunjung dari luar negeri.
“Kejohanan ini membuktikan sukan tradisional seperti sepak raga tuju masih relevan dan mampu menyatukan masyarakat. Saya berasa syukur dengan sambutan luar biasa yang diterima hari ini,” ujar beliau.
“Tahniah diucapkan kepada semua peserta yang bertanding dengan penuh dedikasi sehingga ke akhir acara.”
Tamabahan pula, kejohanan ini turut dimeriahkan dengan sesi cabutan bertuah.
Acara ini merupakan hasil kerjasama antara Kelab SRT Kayang Perlis dan PKWR Tambun Tulang.
YB Wan Zikri Afthar turut menyatakan hasrat untuk menjadikan Kejohanan Sepak Raga Tuju ini sebagai acara tahunan di negeri Perlis.
“Insya-Allah, kita akan usahakan kejohanan ini menjadi acara tahunan yang lebih besar dan mampu menarik lebih banyak penyertaan pada masa akan datang,” tambah beliau.