Kerajaan Negeri Perlis mengumumkan pelaksanaan Skim Kafalah Perlis dengan peruntukan sebanyak RM 1 juta sebagai langkah membantu golongan rentan tanpa mengira kaum mahupun agama.
Skim ini bertujuan memberikan bantuan khairat kematian kepada waris si mati bagi meringankan beban kewangan keluarga.
Penjelasan ini dibuat oleh ADUN Kayang, Asrul Aimran Abd Jalil, dalam sidang media selepas hari pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis.
Beliau menjelaskan bahawa inisiatif ini adalah hasil perbincangan bersama rakan-rakan Kerajaan Negeri dalam State Government of 4 (SG4).
“Cadangan kita adalah untuk memastikan bantuan ini diberikan kepada keluarga si mati, sama ada Muslim atau bukan Muslim, agar sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung,” kata beliau.
Inisiatif ini turut diperincikan oleh YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, dalam Ucapan Belanjawan di bawah Inisiatif 7, Tekad 2: Keseimbangan Sosioekonomi Tonggak Keberkatan.
Menurut beliau, pelaksanaan Skim Kafalah Perlis ini selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menjadi sebuah negeri berkebajikan.
“Sebagai komitmen ke arah Negeri Berkebajikan, kerajaan akan memperkenalkan Skim Kafalah Perlis untuk menyediakan bantuan khairat kematian kepada waris si mati dari kalangan golongan rentan tanpa mengira latar belakang kaum atau agama dengan peruntukan sebanyak 1 juta ringgit,” ujar Menteri Besar Perlis.
Dengan pelaksanaan skim ini, kerajaan negeri berharap dapat membantu keluarga yang berhadapan dengan kehilangan orang tersayang, terutama dalam kalangan mereka yang memerlukan sokongan.
Skim ini juga mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kesejahteraan rakyat merentas semua lapisan masyarakat di Perlis, serta menyemarakkan prinsip keadilan sosial dan kebajikan yang inklusif.