YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas kelulusan peruntukan di bawah Rolling Plan Kelima Rancangan Malaysia Kedua Belas (RP5, RMKe-12).
Beliau berkata, “Kami amat menghargai sokongan dan peruntukan ini yang akan membawa manfaat besar kepada rakyat Perlis.”
Sebanyak tiga projek utama yang telah diluluskan melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM311 juta.
Pertama, projek membina jalan dan jambatan yang menghubungkan Jalan Persisiran Pantai (R152) ke Kuala Sanglang, Perlis, dengan kos sebanyak RM195 juta.
“Projek ini akan meningkatkan akses dan mobiliti di kawasan pantai, sekaligus merangsang pembangunan ekonomi setempat,” jelas Menteri Besar Perlis.
Projek kedua melibatkan menaik taraf Laluan FT262, Jalan Persiaran Wawasan, Perlis, dengan peruntukan sebanyak RM80 juta.
“Menaik taraf jalan ini akan meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya, serta mengurangkan kesesakan lalu lintas.”
Projek ketiga adalah menaik taraf paip air utama dari Loji Rawatan Air Timah Tasoh ke Tangki Air Kaki Bukit (A), dengan kos sebanyak RM36 juta.
“Projek ini penting untuk memastikan bekalan air yang lebih stabil dan berkualiti kepada penduduk di kawasan yang terlibat.”
Dengan sokongan peruntukan ini, Kerajaan Negeri Perlis bertekad untuk terus memajukan negeri melalui pembangunan infrastruktur yang menyeluruh dan mampan.
Inisfiatif ini dibentang oleh beliau semasa membahaskan Belanjawan Perlis 2025 : Perlisku Bestari Berkat Lestari dalam Tekad 2, Keseimbangan Sosioekonomi Tonggak Keberkatan, Inisiatif 6 : Perlisku Bestari Anjung Madinah, dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), pada hari Selasa lepas.