Kedudukan strategik Perlis yang bersempadan dengan Thailand merupakan aset penting yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk memantapkan ekonomi sempadan dan menghubungkan negeri ini dengan pasaran serantau.
Lokasi strategik Padang Besar dan Wang Kelian menjadikan Perlis sebagai pintu masuk utama ke pasaran ASEAN, yang mempunyai lebih daripada 680 juta penduduk, menawarkan peluang besar untuk perdagangan dan pelancongan rentas sempadan.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli menyatakan, “Untuk memastikan perancangan dan pelaksanaan aktiviti sempadan berjalan lancar pada tahun 2025, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak 270 ribu ringgit bagi melaksanakan aktiviti rentas sempadan termasuk aktiviti sokongan pengukuhan hubungan kerjasama sempadan dan IMT-GT (Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle).”
Dalam usaha memperkasakan lagi promosi Perlis Geopark, jaringan kerjasama strategik dengan Geopark serantau seperti Langkawi UNESCO Global Geopark dan Satun UNESCO Global Geopark Malaysia perlu diperkukuhkan.
“Pengukuhan jaringan ini dapat membuka ruang untuk pertukaran idea dan perkongsian pengalaman ke arah meningkatkan mutu pengurusan geopark.”
Kerajaan Negeri juga merakamkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang telah meluluskan peruntukan sebanyak 500 ribu ringgit di bawah Rolling Plan Kelima, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RP5, RMKe-12) bagi pembangunan Pelan Pengurusan Perlis Geopark.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Belanjawan Perlis 2025 : Perlisku Bestari Berkat Lestari dalam Inisiatif 2 : Pelancongan Berdaya Saing, pada hari Selasa lepas.