Menteri Besar Perlis, YAB Mohd Shukri Ramli menyeru pemilik tanah supaya segera menjelaskan Notis 5A yang telah diluluskan pemberimilikan Tanah Kerajaan sebelum tamat notis tersebut.
Menurutnya, hal ini bagi membolehkan pengeluaran hakmilik atau geran tanah didaftarkan seterusnya hasil cukai tanah dapati dikutip Kerajaan Negeri.
“Ingin ditegaskan bahawa Notis 5A yang diluluskan kepada pemohon tanah belum menjamin pemilikan tanah tersebut selagi mana ia tidak dijelaskan dan pengeluaran hakmilik iaitu geran kepada pemohon tanah tersebut,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Van Bergerak Tanpa Tunai “Cashless” Paynet-PPTGPS Negeri Perlis Tahun 2024 bertempat di Foyer Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis, Kangar, pada 10 Disember lalu.
Katanya berdasarkan data terkini, lebih 87.6 peratus pemohon tanah Kerajaan yang diluluskan Kerajaan Negeri bagi tahun 2024 masih tidak menjelaskan bayaran Notis 5A.
“Angka ini amat membimbangkan Kerajaan Negeri di mana kesungguhan Kerajaan
Negeri dalam pemberimilikan Tanah Kerajaan tidak diambil berat oleh pemohon yang diluluskan tanah tersebut.
“Saya juga ingin menyeru kepada pemilik tanah yang telah diluluskan pemberimilikan tanah kerajaan agar menjelaskan Notis 5A yang mengandungi jumlah premium yang perlu dibayar dengan kadar segera bagi memastikan Notis 5A tersebut tidak tamat tempoh.