Kerajaan Negeri Perlis terus komited terhadap pembangunan infrastruktur asas di kampung-kampung dengan memperuntukkan sebanyak RM6.35 juta di bawah program Pembangunan Infrastruktur Awam Desa.
YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, berkata, “Dalam usaha penerusan program ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM640 ribu untuk pelaksanaan beberapa projek khusus, termasuk menaik taraf jalan Kampung di Kampung Bangsal Lebah ke Kampung Tok Kuning, menaik taraf Longkang dan lain-lain Kerja Berkaitan di Kampung Belanga Pudak, Bintong, membina baharu surau di tapak pasar malam atau nat Balai Baru, Beseri, membina setor baharu di tanah perkuburan Islam Kampung Chemumar, Guar Sanji, menaik taraf dan membaik pulih surau Kampung Balik Bukit, tandas surau Al-Hidayah Kampung Teluk Kacang, Bintong, dan surau Kampung Permatang Keriang, Sanglang.
“Projek-projek ini adalah penting untuk memastikan kualiti hidup yang lebih baik di kampung-kampung dan meningkatkan kemudahan awam,” tambah Menteri Besar Perlis.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut meluluskan peruntukan sebanyak RM5.71 juta bagi pelaksanaan projek Pembangunan Infrastruktur Awam Desa yang lebih besar.
Inisiatif ini meliputi projek pendawaian elektrik, baik pulih rumah, bina rumah baharu, dan menaik taraf jalan kampung.
“Kami sentiasa memberi perhatian kepada keperluan penduduk desa dengan memastikan infrastruktur asas seperti pendawaian elektrik dan jalan kampung sentiasa dalam keadaan baik.”
Inisfiatif ini dibentang oleh beliau semasa membahaskan Belanjawan Perlis 2025 : Perlisku Bestari Berkat Lestari dalam Tekad 2, Keseimbangan Sosioekonomi Tonggak Keberkatan, Inisiatif 6 : Perlisku Bestari Anjung Madinah, dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), pada hari Selasa lepas.