Tragedi menyayat hati yang menimpa seorang warga emas di Kampung Beseri Abi baru-baru ini menjadi peringatan serius terhadap kepentingan kebajikan golongan berusia.
Keadaan terbiar sehingga kematiannya yang tragis menjadi “signal” kepada semua pihak untuk bertindak segera demi memastikan perkara sama tidak berulang.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pelancongan, Kebajikan dan Bantuan Bencana, YB Wan Badariah berkata, “insiden ini perlu membuka mata semua pihak mengenai kelemahan institusi kekeluargaan dan tanggungjawab masyarakat.”
“Kita melihat tragedi ini berlaku bukan kerana mereka tiada keluarga. Kadang-kadang, anak-anak dan saudara mara ada, tetapi warga emas masih terbiar.”
“Ini menunjukkan satu keperluan kepada kita untuk memperkukuh institusi keluarga dan menanam rasa tanggungjawab terhadap ibu bapa dan warga emas,” ujarnya.
Beliau mencadangkan supaya pihak berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi lain duduk berbincang untuk merangka pendekatan lebih berkesan dalam menjaga kebajikan golongan emas.
“Kita perlu ada perancangan yang lebih sistematik dan langkah tindakan yang segera.”
“Ini bukan tanggungjawab selaku kerajaan sahaja, tetapi juga sebagai masyarakat dan jiran di kawasan kita.”
“Jaga tepi kain orang ini kadang-kadang baik – jika kainnya koyak, kita jahitkan bersama,” tambah beliau.
Dalam konteks Muslim, YB Wan Badariah turut menekankan kepentingan menjaga kebajikan warga emas sebagai persiapan kehidupan akhirat.
“Warga emas di penghujung usia memerlukan perhatian, kasih sayang dan sokongan. Ini tanggungjawab kita semua untuk memastikan mereka berada dalam keadaan sejahtera, bukan sahaja fizikal, tetapi juga rohani,”
Beliau turut menyeru masyarakat untuk mengambil iktibar daripada kejadian ini dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling bagi mengelakkan lebih ramai warga emas terbiar tanpa pembelaan.